DARI MANA NAK KE MANA...

Aduhai Diri! Siapakah Aku?

Pernahkah kita bertanya: Siapakah diriku ini? Dari mana aku datang? Siapakah yang menciptakan aku? Siapakah yang menciptakan alam ini? Mengapa aku bekerja, makan, minum, dan tidur? Mengapa aku hidup di muka bumi ini? Dan ke manakah kesudahanku setelah aku dicengkam maut? Apakah sebenarnya satu kehidupan lain sesudah mati itu wujud? Dan apakah kehidupan ini hanya di dunia semata-mata?

Tidak syak lagi bahawa kebanyakan manusia di atas muka bumi ini sekarang berada di dalam kesesatan dan kebodohan! Bukan kerana mereka tidak bijak meredah hutan belantara, bukan kerana mereka tidak tahu menyelami lautan. Bukan juga mereka tidak pandai terbang seperti burung di angkasa raya. Bukan... bukan dan bukan. Bahkan mereka lebih bijak dari binatang buas di hutan, mereka lebih bijak dari ikan di dalam lautan. Mereka lebih cerdik dari burung-burung yang terbang di angkasa!

Kalau begitu, mengapa mereka itu dikatakan bodoh dan sesat! Sesungguhnya mereka tidak kenal akan hakikat 'hidup'. Dari mana mereka datang? Apakah matlamat hidup mereka dan apakah kesudahan mereka? Kebanyakan manusia, samada yang ISLAM apalagi yang bukan Islam, menganggap bahawa kehidupan ini hanya untuk berpoya-poya, berseronok-seronok dan bergembira ria! Mereka merasakan bahawa dunia inilah satu-satunya tempat bagi mereka untuk menghabiskan masa dengan bersenang-senang dengan berbagai-bagai hiburan dan keinginan! Mereka tidak langsung ingat tentang diri mereka! Mereka tidak pernah menyoal tentang kehidupan mereka! Mereka tidak pernah bertanya tentang hari yang bakal tiba!!!!!

Cuba lihat sekeliling kita: lihatlah rumput yang menghijau di taman, lihatlah awan yang berarak indah. Lihatlah langit yang terbentang luas. Tenungilah hujan yang turun dari langit. Perhatikanlah malam dan siang silih berganti tanpa pernah kecoh. Saksikanlah matahari yang menerangi alam ini. SIAPAKAH yang menjadikan semuanya itu dan mengaturkannya sebegitu rapi? Dan untuk apa ia dijadikan? Tidakkah kita terfikir bagaimana bumi ini dijadikan dengan seni yang begitu halus dan indah? Siapakah yang menjadikannya dan untuk apa ia dijadikan? Siapa yang menjadikan dan untuk apa ia dijadikan?


Dari Mana Aku Datang?

Seterusnya, marilah kita berfikir tentang kejadian diri manusia yang sungguh unik dan mengkagumkan. Daripada segala makhluk yang ada, manusia merupakan satu-satunya makhluk yang tercantik, terindah dan sangat seni ciptaannya.

Sistem peredaran darah, sistem pernafasan, sistem limpa, sistem urat saraf dan beberapa sistem lain yang berada di dalam tubuh manusia adalah terlalu kompleks dan sangat-sangat menakjubkan. Di samping itu ia dibekalkan dangan akal fikiran untuk berfikir dan menentukan keputusan berbeza dengan makhluk-makhluk lain yang tidak dibekalkan dengan akal.

Mengapakah manusia diberikan keistimewaan sebegitu rupa? Mengapakah ia diberi kekuatan akal dan kemahuan sehingga ia mampu menguasai seluruh makhluk lain dan sumber-sumber alam untuk kepentingan dirinya? Tegasnya mengapakah perlu manusia ini dijadikan sebaik-baik makhluk di atas muka bumi ini?

Seluruh persoalan yang dikemukakan dari awal perbicaraan ini sampailah di sini, tidak dapat dijawap oleh manusia. Akal manusia yang terbatas kemampuannya tidak dapat menjangkau untuk memikirkan jawapan yang tepat bagi persoalan-persoalan tersebut.

Maka ALLAH SWT (Tuhan yang mencipta, menyusun dan mentadbir seluruh alam) yang mengetahui akan kelemahan manusia ini, tidak membiarkan manusia tercari-cari dan teraba-raba dalam kegelapan. Lalu ALLAH SWT mengutuskan para Rasul berserta dengan kitab untuk mengajar manusia tentang apa yang ia tidak tahu, mengenali azali, hidup, mati, alam barzakh, padang mahsyar, syurga, neraka dan perkara-perkara ghaib yang lain. Pendekata untuk mengajar manusia DARI MANA DIA DATANG, UNTUK APA DIA DIJADIKAN DAN KE MANA DIA AKAN PERGI.

Maksud hadis Rasulullah saw.
"Tiap kamu dari Adam dan Adam dari tanah"

Maksud firman ALLAH SWT (Al Hajj: 5):

"Hai manusia, jika kamu dalam keraguan tentang kebangkitan (dari kubur) maka ketahuilah sesungguhnya kami telah menjadikan kamu dari tanah, kemudian dari setitis mani, kemudian segumpal darah, kemudian segumpal daging yang sempurna kejadiannya dan yang tidak sempurna kejadiannya agar kami jelaskan kepada kamu dan kami tetapkan dalam rahim, apa yang kami kehendaki sampai waktu yang sudah ditentukan, kemudian kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian beransur-ansur kamu menjadi dewasa, dan di antara kamu ada yang dimatikan dan ada pula diantara kamu dipanjangkan umurnya sampai pikun (nyanyuk), supaya dia tidak mengetahui lagi sesuatupun yang dahulunya telah diketahui."

Hadis dan firman di atas memberitahu bahawa, seluruh manusia datang dari Allah.Setiap bayi lahir ke muka bumi adalah menurut perencanaan dan penyusunan Allah. Dan tiada sesiapa pun campurtangan dalam urusan ini. Ibu bapa hanyalah sebagai alat aatau sebab untuk melahirkan anak dan bukan yang menentukan kelahiran anak tersebut.

Apakah hujah akal untuk membenarkan kenyataan di atas? Hujahnya, jika ibubapa yang menentukan kelahiran anak maka mengapakah ramai ibubapa tidak mempunyai anak? Yang kedua, dapat diperhatikan bahawa keadaan bayi lahir (iaitu lelaki atau perempuan, cantik atau hodoh dan sebagainya) tidak dapat ditentukan oleh ibubapa mereka atau pakar-pakar sains. Maka jelaslah bahawa manusia itu datang dari Allah dan menurut perencanaanNya semata-mata.

Apakah Matlamat Aku Dijadikan?


Firman Allah SWT (Adz-Dzariat:56)

"Dan tidak Aku jadikan Jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdikan diri kepadaKu.

Ayat Allah di atas menjelaskan bahawa manusia tidak dijadikan begitu saja tanpa tujuan. Tetapi ia dijadikan untuk beriman dan menyembah Allah sebagai Tuhan yang Esa, mematuhi segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya, serta melaksanakan seluruh kehidupan di atas jalan yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Inilah dia matlamat utama manusia dijadikan. Mereka dituntut supaya mentaati Allah setiap detik dan saat. Mereka diarahkan supaya seluruh gerak-geri hidup mereka dihalakan untuk mengabdikan diri kepada Allah. Sehingga tidak ada suatu ruang pun yang tinggal dalam kehidupan mereka yang tidak diisi dengan kepatuhan, ketundukan dan ketaatan yang setulusnya kepada Allah. Dan menundukkan seluruh keinginan mereka ke arah iradah Allah.

Ini bermakna manusia dilarang keras menyembah selain Allah sebagai Tuhan. Atau mengambil cara hidup selain dari yang diatur oleh Allah. Atau meniru cara berfikir yang bertentangan dengan ketentuan Allah. Atau mengikuti apa saja yang selain dari yang diizinkan oleh Allah. Dan manusia diperintahkan supaya menjauhi segala sembahan-sembahan, upacara-upacara, adat, tuturkata dan tingkah laku yang berlawanan dengan apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w.

Firman Allah swt. (An-Nahl:36)

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan pada setiap umat seorang Rasul (yang menyesrukan); 'Sembahlah Allah dan jauhi Thoghut (selain dari Allah) itu', maka di antara umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu di mukabumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan (rasul-rasul)".

Demikian amaran yang keras dari Allah kepada seluruh manusia. Tetapi sayangnya kebanyakan manusia tidak memahami tuntutan ini, mereka beranggapan bahawa dunia adalah tempat permainan dan bersukaria! Allah menyangkal anggapan tersebut dan memberikan amaran lagi kepada orang-orang yang berpemikiran sedemikian.

Firman Allah swt. (Al-Mu'minun:115)

"Apakah kamu mengira bahawa Kami jadikan kamu untuk bermain-main saja? Dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? (untuk di hukum)".

Dengan ini kebanyakan manusia samada yang bukan Islam maupun orang Islam sendiri, tidak menyedari hakikat ini. mereka menghabiskan masa dengan berbagai hiburan, dengan cara hidup yang bertentangan dengan kehendak Allah. Tegasnya mereka
tidak lagi menyembah Allah!!! Apakah mereka ini dibiarkan begitu saja? Tidakkah ada balasan bagi orang-orang yang menyembah Allah dan bagi orang-orang yang tidak menyembah Allah?

Kemanakah Kesudahan Hidup Aku?


Sesungguhnya kehidupan manusia di mukabumi ini tidak kekal. Ibarat musafir yang berteduh sementara untuk mencari bekal bagi meneruskan perjalanannya. Mahu tidak mahu ia terpaksa meneruskan perjalanannya! Ini bermakna bahawa tiap manusia akan menemui_maut untuk kembali ke tempat asalnya kepada Allah SWT. Biarpun ia seorang yang kaya raya, biarpun ia seorang berpangkat, dan biarkan ia seorang miskin dan hina. Kesemuanya terpaksa menyahut panggilan_maut.

Firman Allah:

"Setiap diri akan merasai mati."

Dalam ayat lain, Allah berfirman:(An-Nisa':78)

"Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng tinggi lagi kukuh..."

Sebaik saja seseorang itu mati, maka ia telah berpisah dari alam nyata ini ke suatu alam lain iaitu alam barzakh yang tidak dapat dilihat dan dicapai oleh pancaindera manusia yang hidup. Di dalam alam Barzakh manusia akan lihat dan merasai balasan perbuatan mereka. Mereka yang beriman dan menyembah Allah sebagai Tuhan mereka akan merasai senang dan bahagia. Sementara mereka yang kufur kepada Allah, dan tidak mahu menyembah Allah serta patuh kepada perintah dan laranganNya, akan merasai kesukaran dan azab siksa yang tidak terperi sakitnya!

Kebahagiaan atau kecelakaan yang diterima oleh seseorang di dalam kubur adalah bahagian pertama dari alam Akhirat.

Bahagian seterusnya ialah di Mahsyar, di titian sirat dan syurga atau neraka. Alam nyata ini akan dimusnahkan oleh Allah. Akan berlaku suatu hari di mana bangunan-bangunan runtuh, bumi terbelah, laut bergelora, planet-planet berlanggar dan musnah sehingga tidak ada suatu kehidupan pun di alam ini, semuanya MATI.

Setelah itu dengan kehendak Allah, seluruh manusia dari Nabi Adam hinggalah manusia terakhir di bumi ini akan dihimpunkan di padang mahsyar untuk mengadakan perbicaraan atas tiap-tiap diri manusia.

Setiap manusia akan dibalas menurut apa yang telah dikerjakannya.

Firman Allah: (Al-Zalzalah: 1-8)

"Apabila bumi digoncangkan dengan goncangan yang dahsyat dan bumi telah mengeluarkan beban-beban berat (yang dikandungnya) dan manusia bertanya: "Mengapa bumi (jadi begini)?" Pada hari itu bumi menceritakan beritanya, kerana sesungguhnya Tuhanmu telah memrintahkan (yang demikian itu) kepadanya. Pada hari itu manusia keluar dari kuburnya dalam keadaan yang bermacam-macam supaya diperlihatkan kepada mereka balasan pekerjaan mereka. Barangsiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah pun nescaya dia akan melihatn;ya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan seberat zarah pun nescaya dia akan melihat pula."

Ini bermakna manusia tidak dibiarkan begitu saja dengan amalan-amalan mereka. Tetapi mereka pastiakan menerima balasan perbuatan mereka di akhirat sebagai sambungan dari alam Barzakh.

Tunggulah Balasan Dari Allah

Maksud firman Allah: (Al-Baiyinah: 6 - 8)

"Sesungguhnya orang-orang kafir yakni ahli kitab dan orang-orang musyrik akan masuk ke neraka Jahannam; mereka kekal di dalamnya. Mereka itu adalah seburuk-buruk makhluk. Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, mereka itu adalah sebaik-baik makhluk. Balasan mereka di sisi Tuhan mereka ialah syurga Adn yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; mereka kekal di dalamnya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pun redha kepadaNya. Yang demikian itu adalah (balasan) orang yang takut kepada Tuhannya."

Dengarlah baik-baik, yang dimaksudkan dengan kafir bukan saja orang yang bernama dengan nama kafir. Tetapi termasuk dalam perhitungan kafir ialah setiap orang yang tidak mahu mengikuti ajaran Allah dan tidak mahu menyembah Allah dan menentang ajaran-ajaranNya walaupun ia bernama dengan nama-nama Islam. Dan ia layak dihumbankan ke dalam neraka Jahannam bersama-sama dengan golongan kafir!

Perhatikan firman Allah di atas baik-baik. Orang-orang yang tidak mahu menyembah Allah, dan patuh kepada ajaranNya lalu mengadakan penentangan terhadapnya disifatkan oleh Allah sebagai seburuk-buruk makhluk; lebih hina dari binatang! Walaupun pada awal-awal perbicaraan ini manusia disebut sebagai sebaik-baik kejadian tetapi sebaik saja ia kafir dengan ayat-ayat Allah dan enggan menyembah Allah dalam erti kata yang luas atau sebenarnya maka tiadalah makhluk yang lebih hina daripadanya! Na'uzu billah!

Bukan itu saja, malah yang lebih dahsyat ialah yang bakal diterima di akhirat iaitu diabadikan dalam neraka Jahannam.

Inilah yang digambarkan oleh Allah dalam ayat beikut: (At-Tin: 4 - 6)

"Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian kami kembalikan ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus."

Itulah keputusan Yang Maha Adil dari Allah! Itulah dia hari yang pasti terjadi! Tiada syak padanya. Dan pada hari itu tiada sesiapapun yang dapat meniru dan membela diri sebagaimana yang dilakukan oleh mahkamah-mahkamah dunia. Allah akan menjadi hakim di mahkamah yang besar itu. Sementara anggota badan manusia masing-masing menjadi saksi atas apa yang dilakukan oleh manusia. Tiada peguam yang dapat membela, tiada menteri yang boleh menolong dan tiada raja atau sultan yang dapat memberikan keampunan. Malah semua
manusia berada dalam keadaan resah gelisah dan takut gementar sehingga titik-titik peluh menjadi banjir dan terasa matahari seolah-olah sejengkal saja dari kepala!!!!!

Pada hari itu tidak berguna harta dan kekayaan, pangkat dan kedudukan, ijazah dan diploma Universiti. Allah tidak memandang itu semua. Kerana semua itu tidak bernilai di sisi Allah. Oleh sebab itu Allah tidak akan bertanya "Wahai hambaku banyak mana harta yang kamu perolehi" atau "Wahai hambaku pernahkah kamu menjadi menteri." atau "Wahai hambaku dari keturunan rajakah kamu ini?" Tidak.... tidak dan tidak sama sekali.

Tetapi Allah akan bertanya "Apakah kamu beriman? Siapakah yang kamu sembah semasa kamu di dunia dahulu?" "Dan disinilah letaknya penilaian Allah ke atas hamba-hambanya.

Firman Allah: (Asy-Syu'ara: 88-89)

"Pada hari harta dan anak-anak tidak berguna kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih."


Jangan Persiakan Hidup Ini

Jelaslah bahawa orang-orang yang berjaya disisi Allah dan memperoleh syurga dan keredhaanNya di akhirat ialah mereka yang mempunyai hati yang bersih, yang tidak kufur kepada Allah tetapi memenuhi hati itu dengan beriman kepada Allah dan dihiasi anggota tubuh dengan amalan soleh seperti mana yang diajar oleh Al Quran dan As Sunnah.

Tidak syak lagi bahawa akhirat merupakan tempat yang sebenar-benarnya bagi manusia untuk menerima balasan. Kecelakaan atau kebahagiaan yang dialami oleh manusia ketika hidup di dunia bukanlah gambaran sebenar tentang keadaan hidup di akhirat.

Oleh sebab itu maka tidak peliklah kalau kita dapat perhatikan orang-orang yang derhaka kepada Allah dan sentiasa kufur kepada ajaran Allah lalu menghabiskan masa dengan hiburan yang haram, tari-menari, menonton wayang yang haram dan seumpamanya, begitu senang hidup mereka. Mereka yang tidak sembahyang , tidak berpuasa, tidak menutup aurat dan tidak berpegang kepada hukum-hukum Allah tidak ditimpa oleh apa-apa musibah. Malah semakin mereka kufur, semakin senang hidup mereka. Sebenarnya kekayaan, kesenangan dan kemudahan yang diberikan oleh Allah kepada mereka yang kufur ini bukanlah kerana memuliakan mereka. Sebaliknya untuk membiarkan mereka melakukan kekufuran tersebut sehingga Allah mencabut nyawa mereka dengan tiba-tiba dan membalas mereka dengan balasan neraka yang pedih. Na'uzubillah.

Sesungguhnya sudah cukup bukti dan pengajaran kepada kita dari kaum-kaum yang terdahulu daripada kita yang kufur kepada Allah walaupun Allah memberikan mereka kekayaan dan kesenangan. Allah membalas mereka dengan balasan yang pedih dan menjanjikan azab neraka yang membakar di akhirat kelak.

Walau bagaimanapun memang fitrah manusia bahawa dia tidak akan sedar sehiggalah musibah menimpa dirinya. Dan inilah yang digambarkan oleh Allah dalam Al Quran mengenai golongan manusia yang kufur kepada Allah di mahsyar nanti.

"Dan (alangkah ngerinya) jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya dihadapan Tuhannya, (mereka berkata): 'Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikan kami (ke dunia) kami akan mengerjakan amal soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin."
As-Sajdah: 12

Demikianlah rayuan orang-orang yang kufur dengan Allah, orang-orang yang tidak mahu mengikut ajaran Allah lalu mengadakan halangan-halangan atas orang-orang beriman yang lain. Itulah rayuan yang sayup bergema di Mahsyar nanti. Itulah tangisan dan ratapan mereka yang engkar dan sombong dengan Allah di dunia sebelumnya. Pada ketika itu berlalu sudah segala-gala rayuan tidak berguna lagi. Tangisan tiada berfaedah lagi. Lalu Allah menjawab rayuan tadi dengan firmanNya:

"Maka rasailah olehmu (siksa ini) disebabkan kamu melupakan akan pertemuan dengan harimu ini (Hari Akhirat), sesungguhnya kami telah melupakan kamu (pula) dan rasakanlah siksa yang kekal, disebabkan apa yang selalu kamu kerjakan."
As-Sajdah:14

Demikianlah jawapan yang tegas dari Allah. Sungguh Dia telah memberi ingatan dan amaran demi amaran dalam Al Quran tentang kehidupan ini, tetapi kebanyakan manusia lalai dan menganggapnya sebagai dongeng! Na'uzubillah.

Maka marilah saudara! Renungilah dalam-dalam tentang kehidupan ini! Janganlah persiakan sisa-sisa hidup yang masih tinggal. Kemballilah ke jalan Allah dengan segera. Kembalilah kepada Al Quran dan As Sunnah untuk mengambil ajaran dan binalah kehidupan baru untuk menuju keredhaan Allah.

Saudara, maut tidak mengira umur, pangkat dan kedudukan. Maka marilah selagai hayat dikandung badan, selagi jantung masih berdegup dan nadi masih berdenyut, kita kembali menimba kehidupan Rabbani, kehidupan yang menjamin kebahagian dunia dan kejayaan di akhirat.... yang abadi!!!

Untuk ini apakah yang perlu kita buat. Sekali lagi jawapannya sudah diberi oleh Allah.

"Demi masa, sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali ORANG-ORANG YANG BERIMAN dan BERAMAL SOLEH dan yang berpesan-pesan dengan KEBENARAN dan yang berpesan-pesan dengan KESABARAN." Al-Asr


RENUNGKAN, FIKIRKAN dan BERTINDAKLAH

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails