HAK WANITA DALAM PERUNDANGAN SYARIAH
PROF MADYA DR NAJIBAH MOHD ZIN
Pensyarah UIAM dan pakar rujuk undang-undang keluarga
Tujuan Kejadian Manusia
Firman Allah:
" يآايها الناس اتقوا ربكم الذي خلقكم من نفس واحدة وخلق منها وبث منهما رجالاكثيرا ونسآء ، واتقوا الله الذي تسآءلون به والأرحام ، ان الله كان عليكم رقيبا "
Maksudnya:
“Wahai sekalian manusia, bertakwalah kamu kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu dari yang satu dan yang menjadikan isterinya dan juga membiakkan dari keduanya zuriat keturunan lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang selalu kamu meminta dengan menyebut namaNya, serta peliharalah hubungan arham; kerana sesungguhnya Allah selalu memerhati kamu.”
An Nisa’4:1
Allah jadikan lelaki dan perempuan itu berpasangan dengan tujuan untuk bertaqwa kepada Allah. Ini adalah implikasi dan pegangan kepada kita sebagai individu muslim; lelaki atau wanita ataupun kita sebagai pasangan dalam hubungan kekeluargaan. Kerahmatan yang diberikan oleh Allah SWT akan tercapai jika kita dapat perbetulkan niat kita tentang konsep kejadian manusia.
Tujuan Perkahwinan
Firman Allah s.w.t.:
" ومن اياته ان خلق لكم من أنفسكم ازواجا لتسكنوآ اليها وجعل بينكم مودة ورحمة ، ان في ذلك لايات لقوم يتفكرون "
Maksudnya:
“dan diantara tanda-tanda kekuasaa-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenis mu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya diantara mu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
Ar Rum 30:21
Selain menjadi individu muslim yang bertaqwa, Allah jadikan juga suatu institusi yang dipanggil institusi keluarga. Allah menjadikan institusi keluarga kerana ia merupakan institusi yang penting dalam pembentukan sebuah masyarakat dan juga pembentukan sebuah negara. Allah menjadikan kepada pasangan suami isteri itu ‘mahabah warahmah’ iaitu kasih sayang dan rahmah.
Jadi ini merupakan hadiah daripada Allah SWT kepada manusia tetapi bagaimana Allah hendak memberi hadiah ini jika manusia itu sendiri tidak berusaha untuk mendapatkannya. Pasangan suami isteri seharusnya berusaha bersama-sama untuk mewujudkan perasaan mahabah dan kasih sayang dan dengan itu Allah akan memberi rahmahnya. Maka itu adalah hadiah dari Allah SWT.
Mengapa Perlu Kahwin?
Perkahwinan adalah termasuk dalam hajat manusia yang asasi seperti keperluan kepada makanan dan pakaian.
Allah berfirman:
"....هن لباس لكم وأنتم لباس لهن.."
Maksudnya:
“mereka itu adalah pakaian bagimu dan kamu adalah pakaian bagi mereka.”
Al-Baqarah 2:187
Kenapa dibandingkan dengan pakaian? Ini kerana hajat manusia sama dengan seperti pakaian sebagai keperluan asas. Bagaimana kita hendak menjadikan institusi kekeluargaan sebagai sebuah institusi yang bahagia? Kebahagian keluarga bergantung kepada kebijaksanaan pihak-pihak dalam perkahwinan.
Hak Wanita Di sisi Hukum Syara’
Isu wali, mengikut hukum syarak, apabila bayi perempuan atau lelaki itu dilahirkan, tanggungjawab untuk membesarkan bayi tersebut terletak di tangan ibubapa. Ibu menjaga, menyusukan dan memberikan kasih sayang kepada bayi tersebut. Bapa menjaga dan bertindak sebagai wali serta penjaganya. Bapa bertanggungjawab menyara anak perempuan itu sehingga dia berkahwin manakala bagi anak lelaki pula sehingga berumur 18 tahun atau sehingga tamat pembelajaran. Bapa juga bertanggungjawab untuk mencari dan memilih jodoh yang sesuai dan sekufu untuk anak perempuannya.
Undang-undang menekankan konsep maslahah di mana bapa itu sendiri hendaklah membesarkan anak itu dengan mengambil kira maslahahnya untuk kepentingan anak perempuan itu. Mengikut mazhab Shafie, anak perempuan itu mestilah meminta keizinan daripada bapanya sekiranya ingin berkahwin. Jika kita memahami konsep maqasid shariah, ia adalah untuk memberi kebaikan kepada anak perempuan itu kerana seorang bapa sepatutnya lebih memahami kebajikan anak perempuannya.
Di dalam akad perkahwinan, bapa akan mengakad nikahkan anaknya, “aku nikahkan dikau dengan anakku”, dimana dia bermaksud menyerahkan tanggungjawab dirinya sebagai bapa kepada suami untuk menjaga anak perempuannya. Ini bermakna suami bertanggungjawab untuk memberi kasih sayang dan menjaga kebajikan isterinya.
Dalam hukum syarak, memilih bakal suami adalah hak wanita. Walaupun bapa berhak untuk mengahwinkan anak perempuannya itu tanpa keizinan anaknya, tetapi jika anak tersebut tidak bersetuju dengan pilihan bapanya, dia boleh membuat tuntutan untuk membubarkan perkahwinan itu. Ini yang dikatakan sebagai hak wanita dalam memilih bakal suaminya. Jika bapa memikirkan maslahah anaknya, dia tidak akan melakukan sesuatu tanpa memikirkan kebahagiaan anaknya.
Di dalam sebuah kes di Singapura, iaitu kes Sharifah Salmah lwn Syed Abdullah Shatiri(bapa), seoang anak peempuan telah dikahwinkan oleh bapanya dengan seorang lelaki bukan pilihannya. Mahkamah terpaksa merujuk kepada undang-undangyang sepatutnya dipakai dan mendapati bahawa pandangan mazhab Shafie perlu dirujuk. Di dalam mazhab Shafie, bapa boleh mengahwinkan anak tanpa persetujuan anak perempuan itu. Walaubagaimanapun, mahkamah memutuskan bahawa jika perkahwinan itu tidak mendatangkan kebahagiaan, mahkamah tidak boleh memaksa dia untuk meneruskan perkahwinan itu. Maka, dalam kes tersebut, perkahwinan itu telah dibubarkan dengan persetujuan bersama dan si isteri membayar sejumlah wang yang dipanggil tebus talak.
Lelaki dan wanita mempunyai hak yang sama dari sudut amal dan pahala tetapi mempunyai peranan yang berbeza. Allah menjadikan lelaki suka melakukan aktiviti-aktiviti dan kerja-kerja yang lasak manakala perempuan Allah jadikan perempuan emosional. Walaubagaimanapun, kita tidak boleh mendahulukan emosi dari akal. Tujuan dijadikan wanita itu emosional adalah bertujuan menjaga anaknya dan memberi kasih sayang kepada anak-anak.
Tanggungjawab yang lebih diberikan kepada lelaki dalam beberapa aspek terutamanya dari sudut nafkah, menjaga disiplin anak-anak dan menjaga keluarga serta perwalian.
Hak Wanita Dalam Perkahwinan
Apabila seorang wanita itu berkahwin, samada dengan pilihan sendiri atau pilihan keluarga, haknya yang pertama adalah untuk menerima mahar. Mahar ialah sejumlah harta yang diberikan kepada isteri dan harta ini merupakan harta mutlak isteri. Hukum syarak mensyaratkan supaya suami membayar mahar atas dasar insaniyyah atau hubungan kemanusiaan dan penghormatan kepada wanita tehadap kepentingan yang bakal dikongsi.
Hadith Sahl bin Saad r.a:
“bagilah mahar walaupun dengan cincin besi”
Sahih Muslim.
Hadith ini bermaksud memberi wanita itu hak mutlaknya. Jika suami tidak membayar mahar ketika akad nikah, si isteri boleh menuntut mahar itu samada masih dalam perkahwinan atau selepas penceraian atau selepas kematian suami.
Dalam perkahwinan, suami wajib membayar nafkah kepada isteri samada nafkah zahir atau nafkah batin. Nafkah zahir bergantung kepada keperluan isteri dan anak-anak. Jumlah yang dibayar bergantung kepada kemampuan suami dan status isteri. Nafkah perlu diberi walaupun isteri bekerja dan boleh menanggung diri sendiri supaya suami mempunyai rasa tanggungjawab terhadap isteri dan keluarganya. Sebaik-baiknya, buat perjanjian antara suami dan isteri supaya senang dituntut kelak jika berlaku pertikaian.
Pergaulan dalam rumahtangga di mana pergaulan yang baik juga merupakan hak bersama antara lelaki dan wanita. Jika suami mendera isteri atau sebaliknya, terdapat undang-undang di mana isteri boleh menuntut penceraian atau perlindungan dibawah Akta Keganasan Rumahtangga. Di dalam pergaulan juga perlu diterapkan layanan yang adil oleh suami terutamanya jika berpoligami.
Hak Untuk Membubarkan Perkahwinan
Hadith,
“jika wanita itu meminta cerai daripada suaminya, haram baginya bau syurga.”
Perceraian adalah perkara yang sangat dibenci oleh Allah tetapi dibenarkan. Dalam Islam, dibolehkan seorang wanita itu menuntut cerai atas sebab-sebab yang diharuskan oleh Syara’.
Bentuk-bentuk perceraian:-
– Persetujuan Bersama
• Suami lafaz talaq dan bercerai dengan cara baik supaya kesannya minimum kepada anak-anak. Perceraian hendaklah berlaku di dalam mahkamah
• Lafaz cerai luar mahkamah masih diiktiraf bergantung kepada bentuk lafaz yang dibuat. Denda akan dikenakan oleh pihak mahkamah.
– Talaq ta’liq
• Prosedur Ta’liq bergantung kepada kandungan alasan-alasan dalam surat nikah dan alasan yang biasanya terdapat dalam surat nikah ialah mudarat tubuh badan, tidak membayar nafkah dan juga meninggallangsung isteri. Alasan ta’liq tidak sama antara negeri-negeri.
– Fasakh
• Atas alasan darar. Darar bermaksud mudarat ke atas perempuan itu sendiri contohnya seperti tiada persetubuhan antaranya suami isteri lebih dari setahun, suami menghilangkan diri lebih dari setahun atau tidak membayar nafkah selama tiga bulan atau lebih.
– Khulu’
• Isteri membayar kepada suami untuk melepaskan dirinya dari ikatan perkahwinan
• Suami masih lagi membayar nafkah tetapi berlaku shiqaq. Isteri boleh memohon untuk tebus talaq.
• Shiqaq ialah apabila pasangan suami isteri tidak lagi bertegur sapa dan tiada komunikasi.
Tuntutan Sampingan
Nafkah Iddah ialah talaq yang boleh dirujuk. Isteri diberikan hak tempat tinggal di mana suami isteri boleh tinggal serumah tetapi tidak sebilik. Ruju’ hanya boleh berlaku dalam masa iddah. Ruju’ adalah hak suami tetapi isteri boleh untuk tidak bersetuju untuk ruju’ jika ada sebab-sebab yang munasabah. Perkara ini akan dirujuk kepada jawtankuasa pendamai untuk perdamaian atau perceraian jika perdamaian mustahil boleh berlaku.
Seorang isteri yang diceraikan berhak untuk membuat tuntutan mut’ah. Mut’ah adalah bayaran saguhati dan bukan pembahagian harta. Ia diberikan oleh suami kepada isteri berdasarkan kepada kemampuan suami. Mut’ah adalah pembayaran saguhati kepada isteri berdasarkan tempoh perkahwinan dan pengorbanan isteri yang telah dilakukan bertujuan untuk memberi keringanan kepada isteri yang diceraikan.
Harta sepencarian harta yang diperolehi dalam masa perkahwinan dan pembahagiannya boleh dibuat selepas perceraian atau kematian suami atau isteri. Cara pembahagian ialah dengan melihat tahap sumbangan suami dan isteri dalam memperolehi aset tersebut.
Hak Penjagaan Anak
Penekanan diberi kepada maslahah anak. Undang-undang Islam memberi keutamaan penjagaan anak kepada ibu, yang disebut sebagai hadanah.
Keutamaan penjagaan diberi kepada ibu bagi anak lelaki berumur 7 tahun kebawah dan anak perempuan berumur 9 tahun ke bawah. Hak penjagaan diberi kepada ibu kerana ibu lebih lembut sifatnya dan penyayang, walau bagaimanapun bapa boleh menunutut hak untuk melawat. Tetapi jika ibu tidak mampu, mahkamah boleh memberi hak penjagaan anak kepada bapa. Anak-anak juga turut diberi hak untuk tinggal dengan ibu atau bapa.
Masalah Yang Biasa Timbul
Jika ibu bapa terpaksa bercerai, adalah digalakkan supaya dilakukan dengan persetujuan bersama dan secara baik bagi mengelakkan dendam antara suami dan isteri dan juga masalah antara suami isteri dapat diselesaikan dengan baik. Berlaku masalah emosi; ini mewujudkan situasi ‘tug-of-war’ atau tarik tali dalam menuntut hak penjagaan. Ia juga boleh menyebabkan berlaku kecuaian dalam membayar nafkah anak. Banyak permohonan hak penjagaan sementara dibuat secara ex-parte iaitu permohonan sebelah pihak. Ia sepatutnya tidak berlaku dalam tuntutan hak jagaan kerana ibu dan bapa kedua-duanya mempunyai hak dan tanggungjawab yang sama terhadap anak mereka. Maslahah anak adalah perkara terpenting dalam hak penjagaan.
Perlaksanaan perintah nafkah selepas perceraian juga menjadi isu yang penting jika pihak bapa tidak memberi kerjasama dalam menunaikan tanggungjawabnya.
Sekian, wallahualam.
No comments:
Post a Comment