ISTERIKU, BIDADARIKU
Y. BHG. DATO’ MD. HASHIM YAHAYA
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan dan Felo Kehormat Kuliyyah Undang-Undang UIAM
Sudah menjadi lumrah dalam kehidupan, pasangan suami isteri dalam sesebuah perkahwinan akan saling lengkap melengkapi. Islam telah meletakkan beberapa panduan dalam Al-Quran dan hadith ciri-ciri untuk menjadi isteri yang solehah. Kadang-kadang orang akan tersalah tafsir bahawa isteri yang solehah ialah seorang isteri yang kuat bersolat, berpuasa, memakai purdah dan sebagainya. Tetapi apakah itu sebenar-benarnya ciri-ciri isteri yang solehah?
Kalau kita mahu isteri yang menpunyai ciri-ciri yang telah disebutkan di dalam Al-Quran dan hadith maka mustahil untuk kita berjumpa di dunia kecuali di syurga. Tetapi kalau isteri mempunyai dua atau tiga ciri-ciri tersebut juga sudah memadai untuk merialisasikan impian ‘rumahku syurgaku’.
Dalam Islam ada menyebut bahawa isteri yang solehah adalah isteri yang membawa kepada ketenteraman dan kesenangan hati suami. Tanggungjawab ini juga terletak di bahu suami yang mana suami juga harus menjadi suami yang dapat membawa kepada ketenteraman hati isteri.
Firman Allah:
"...هن لباس لكم وأنتم لباس لهن."
Maksudnya:
‘mereka adalah pakaian kamu dan kamu adalah pakaian mereka’
Al-Baqarah 2:187.
Seperti yang telah dinyatakan, hubungan suami isteri itu lengkap melengkapi di antara satu sama lain. Tetapi walaubagaimanapun Islam telah meletakkan tanggungjawab yang lebih besar kepada isteri untuk melahirkan ketenteraman di dalam rumahtangga.
Firman Allah Taala :
" ومن اياته ان خلق لكم من أنفسكم ازواجا لتسكنوآ اليها وجعل بينكم مودة ورحمة ، ان في ذلك لايات لقوم يتفكرون "
Maksudnya:
“dan diantara tanda-tanda kekuasaa-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenis mu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan-Nya diantara mu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”
Surah Al-Rum 30:21
Kalau mengikut sunnah dan tabii, lelaki ditugaskan mencari rezeki dan isteri ditugaskan menjaga dan menguruskan rumahtangga. Disebabkan itu, apabila suami di luar mencari rezeki, suami akan berhadapan dengan berbagai masalah dan cabaran dalam kerja, bila suami pulang ke rumah dan berjumpa isteri maka suami akan merasa senang hati melihat isteri yang solehah dan dapat memberi suatu ketenteraman dan kesenangan kepada jiwa suami.
Seorang isteri itu harus memberi fokus kepada bagaimana untuk menarik minat suami supaya merasa kasih dan sayang pada isteri.
Rasulullah s.a.w. ada menyebut
الدنيا كلها متاع وخير متاع الدنيا المرأة الصالحة
Bermaksud:
“Dunia ini tempat berseronok dan tempat berseronok yang paling baik ialah isteri yang solehah”
Hadis riwayat An-Nasai
Oleh itu bagi seorang lelaki yang ingin mencari isteri maka lelaki itu disuruh terlebih dahulu mengenali bakal isterinya.
Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada seorang sahabat yang datang untuk meminta kebenaran untuk berkahwin.
عن أنس بن مالك ، أن المغيرة بن شعبة أراد أن تزوج امرأة فقال له النبي صلى الله عليه وسلم ، اذهب فانظر إليها...
“Dari Anas bin Malik, sesungguhnya Al-Mughirah bin Syu’bah ingin mengahwini seorang wanita. Maka sabda Rasulullah s.a.w. bersabda: “pergilah lihat kepadanya.”
Hadis riwayat Ibn Majah
Rasulullah s.a.w. bertanya sekiranya sahabat telah melihat wanita tersebut. Jawab sahabat belum, maka Rasulullah s.a.w. telah menyuruh sahabat untuk pergi melihat dahulu wanita itu sama ada sesuai atau tidak untuk menjadi isteri, setelah sahabat berpuas hati barulah sahabat boleh berkahwin dengan wanita tersebut. Kerana menurut Rasulullah s.a.w., bila seorang lelaki telah mengenali seorang wanita dan melihat bahawa wanita itu sesuai untuk menjadi seorang isteri, wanita yang baik, berkeupayaan untuk mendidik anak, menguruskan rumahtangga dengan baik dan sebagainya maka Insya Allah barulah rumahtangga akan berkekalan dan tidak bercerai berai.
Pihak lelaki bukan sahaja harus melihat kepada rupa paras wanita tersebut tetapi harus juga melihat, mengenali dan mengkaji dahulu wanita tersebut. Apa yang berlaku pada masa sekarang di mana lelaki akan berkawan dahulu dengan wanita setahun dua kemudian baru berkahwin adalah tidak salah tetapi harus mengikut landasan yang telah ditetapkan oleh Islam. Ini bertujuan supaya kita akan lebih mengenali dan yakin dengan pasangan kita.
Menurut Rasulullah s.a.w, terdapat beberapa ciri untuk seseorang itu menjadi wanita yang solehah dan antara ciri yang paling penting ialah pertama, wanita yang solehah ini dapat menyukakan hati seorang suami bila suami melihat kepadanya. Ini adalah ciri yang paling penting yang telah disebut oleh Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu seorang wanita itu juga haruslah seorang yang amanah, jujur, menjaga harta suaminya dan menjaga rumahtangga dengan baik, tidak tinggal beribadat kepada Allah s.w.t. dan sebagainya.
Oleh itu, apa sebenarnya seorang lelaki inginkan yang dapat menyenangkan hatinya?
Pertama sekali bagi pandangan seorang lelaki ialah soal kecantikan rupa paras dan bentuk tubuh wanita itu. Ini adalah naluri semulajadi seorang lelaki yang telah diberi Allah s.w.t. dimana mereka suka kepada wanita yang cantik. Sebab itu menjaga tubuh badan dan rupa supaya sentiasa cantik adalah ciri utama seorang wanita solehah yang akan dapat menyenangkan hati seorang suami.
Oleh itu solekan, menghiaskan diri dan menjaga tubuh badan adalah penting untuk pandangan suami dan dalam Islam juga mengharuskan isteri bersolek supaya suami bersenang hati dengan isteri. Jika isteri berhabisan duit bagi menghiasa diri, maka itu dianggap beribadah kepada Allah s.w.t. dan akan mendapat pahala dengan tujuan untuk menarik perhatian suami. Contohnya, jika isteri yang sudah mempunyai uban di rambut, isteri boleh mewarnakan rambut uban tersebut kepada warna hitam.
Sesetengah ulama’ berpendapat bahawa hukum mewarnakan rambut dari uban kepada warna hitam adalah haram dan ada juga sesetengah pendapat yang menyatakan makruh tetapi diharuskan malah kadang-kadang disunatkan kepada wanita untuk mewarnakan rambut hanya untuk suami. Ini kerana isteri yang solehah yang memakai tudung yang sempurna yang hanya akan membuka tudung untuk suami maka dibenarkan untuk mewarnakan rambut kerana ini bertujuan supaya suami melihat isteri dalam keadaan yang muda sentiasa.
إن الله جميل يحب الجمال
‘Allah itu cantik maka Allah suka sesuatu yang cantik’.
Tentulah kecantikan akhlak dan budi bahasa harus menghiasi peribadi seseorang isteri. Semakin berusia seseorang isteri itu semakin dituntut untuk berhias diri supaya suami akan sentiasa senang.
Ciri yang kedua sebagai isteri yang solehah ialah isteri haruslah tidak mendesak suami menyediakan kemewahan-kemewahan yang tidak mampu di tunaikan oleh suami. Contohnya isteri tidak harus membandingkan apa yang mereka miliki dengan apa yang orang lain miliki sedangkan isteri mengetahui suami tidak mampu untuk menyediakannya. Itu bukanlah ciri wanita yang solehah. Pernah juga berlaku kepada Rasulullah s.a.w. di mana isteri Rasulullah s.a.w. pernah mendesak baginda untuk menyediakan kemewahan yang tidak mempu disediakan oleh Rasulullah s.a.w.
Maka Allah s.w.t. telah berfirman:
" يآايها النبي قل لأزواجك ان كنتن تردن الحيواة الدنيا وزينتها فتعالين امتعكن واسرحكن سراحا جميلا "
Maksudnya:
‘Katakan wahai Muhammad kepada isteri-isteri kamu yang mendesak untuk kemewahan dunia bahawa kamu akan melepaskan mereka dan carilah kemewahan dunia’.
Al-Ahzab ayat 33 : 28
Allah s.w.t. telah menegur isteri-isteri Rasulullah s.w.t. janganlah mendesak kerana Rasulullah s.w.t. hidup dalam kesederhanaan.
Oleh itu seorang isteri harus tahu kemampuan suami mereka maka isteri mintalah sesuatu yang berpatutan yang boleh ditunaikan oleh suami. Sesetengah suami akan hidup dalam keadaan berhutang hanya kerana hendak memenuhi kehendak isteri yang akhirnya akan membawa kepada porak-poranda rumahtangga.
Ketiga, wanita jangan terlalu bersifat cemburu dan emosi walaupun itu adalah tabiat yang dijadikan Allah s.w.t. kepada wanita. Yang sebaiknya apabila seseorang wanita itu telah terlalu mengikut hati, berbaliklah kepada ajaran dan panduan Islam. Kita semua mengetahui Rasullah s.a.w. mempunyai ramai isteri, ada di antara isteri-isteri baginda yang pandai memasak dan ada yang tidak. Antara isteri Rasulullah s.a.w. yang kurang pandai memasak ialah Siti Aishah r.a. kerana sewaktu baginda berkahwin dengan Siti Aishah, Siti Aishah masih terlalu muda. Ada riwayat yang mengatakan 9 tahun, ada yang mengatakan 11 tahun dan ada yang mengatakan 13 tahun. Pendek kata sewaktu Siti Aishah berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Siti Aishah masih lagi bermain dengan anak patung.
Tetapi antara isteri Rasullullah s.a.w. yang pandai memasak ialah Sufiyyah. Sufiyyah selalu memasak makanan yang disukai oleh Rasullullah s.a.w. Suatu hari Rasulullah s.a.w. berada di rumah Siti Aishah, Sufiyyah telah menghantar semangkuk makanan kepada Rasulullah s.a.w. Apabila Siti Aishah menerima mangkuk makanan tersebut, Siti Aishah terus merasa cemburu kerana Siti Aishah takut apabila Rasulullah s.a.w. memakan makanan yang di masak, Rasulullah s.a.w. akan terus memuji masakan Sufiyyah.
Siti Aishah hanya mahu Rasulullah s.w.t. memuji Siti Aishah sahaja dan kerana terlampau cemburu maka jatuh dan pecah mangkuk makanan dari Sufiyyah tadi. Siti Aishah telah terlampau mengikut perasaan. Tetapi kebaikan Siti Aishah ialah, walaupun terlampau mengikut perasaan namun apabila ditegur oleh Rasulullah s.a.w., Siti Aishah terus berbalik kepada ajaran Islam. Rasulullah s.a.w. meminta Siti Aishah untuk memohon ampun daripada Allah s.w.t., meminta maaf dari Sufiyyah dan menggantikan kembali mangkuk Sufiyyah yang pecah tadi. Maka Siti Aishah terus dengan segera memohon ampun dari Allah s.w.t., meminta maaf dari Sufiyyah dan menggantikan mangkuk yang pecah.
Inilah antara ciri-ciri wanita yang solehah kerana dalam keadaan yang tertentu dia terikut dgn perasan tetapi terus menyedari kesilapan dan kembali kepada jalan yang betul. Itu adalah ciri yang cukup baik yang dapat menarik hati suami. Tidak salah untuk wanita merasa cemburu tetapi jangan sampai terlampau dan terkeluar dari ajaran Islam.
Seorang lelaki itu Allah jadikan bersifat keras percakapannya, badannya dan perlakuannya. Wanita pula Allah telah jadikan dengan sifat lemah-lembut.
Ciri wanita solehah yang keempat ialah kelembutan seorang wanita harus dipelihara untuk memikat hati suami. Kerana suami yang keras sifatnya, percakapannya, badannya dan perlakuannya tidak suka akan wanita bersifat seperti mereka.
Sebab itu Sabda Rasulullah s.a.w.
تزوجوا الولود الودود
‘Pilihlah wanita yang dapat memberi banyak zuriat dan yang lemah lembut dan mempunyai sifat kasih sayang, sifat kewanitaan dan kelembutan’.
Hadith riwayat Abu Daud.
Itu adalah beberapa perkata yang harus kita ambil selain kekuatan beragama, taat kepada suami dan sebagainya. Tersebut adalah antara ciri-ciri isteriku, bidadariku.
Semoga perkahwinan setiap pasangan suami isteri bahagia dan kekal sehingga berpisah mati dan tidaklah berpisah separuh jalan walaupun dibenarkan dalam Islam tetapi adalah antara perkara yang dibenci Allah s.w.t.
Sekian, wallahuallam.
No comments:
Post a Comment