Setiap kali majlis nikah, ia biasanya dilangsungkan di masjid mahupun
di surau. Jadi, di situ biasanya ahli keluarga terdekat dan rakan
taulan hadir untuk menyaksikan sendiri majlis bersejarah yang menyatukan
dua hati.
Biasalah, jika dilakukan di masjid, semua yang hadir perlu mematuhi
adab memasuki masjid. Sudah pasti, antara lain yang dipatuhi ialah adab
menutup aurat dengan sempurna.
Jadi, di situ dapat kita lihat ramai yang hadir cantik menutup aurat
khususnya yang perempuan, termasuklah perempuan yang akan dinikahkan.
Alangkah indahnya majlis penyatuan hati disertai oleh orang-orang
yang patuh pada tuntutan agama. Aurat dijaga, kelakuan diperhati. Si
pengantin perempuan elok menutup aurat, duduk tertunduk mengenang
hari-hari yang bakal dilalui sebagai isteri sejurus lafaz nikah oleh
bakal suaminya disahkan.
Namun yang sedihnya, ia hanya setakat majlis nikah itu.Apabila tiba majlis persandingan, tudung hilang entah ke mana, aurat terdedah di sini sana.
Tiada lagi kesucian majlis sepertimana yang ada pada majlis nikah
sebelumnya. Itu belum lagi dibincangkan hal tingkah laku yang ada
kalanya hilang kawalan. Dalam sedar mahupun tidak, banyak mata yang
memerhati.
Malangnya, bukannya semua yang hadir ke majlis persandingan adalah
muhrim kepada pengantin. Sudah tentu hadirin terdiri daripada
orang-orang yang bukan muhrim juga, yang tidak halal mata mereka
menjamah aurat pengantin, khususnya yang perempuan.
Jika dalam majlis nikah, segala tuntutan agama boleh dipenuhi, mengapa tidak meneruskannya dalam majlis persandingan pula?
Apakah
ada beza amalan agamamu ketika majlis nikah dan ketika majlis
persandingan? Apabila ada beza auratmu kepada yang bukan muhrim ketika
di masjid dan ketika di luar masjid? Mengapa ada kesedaran bahawa
agamamu ialah Islam ketika dinikahkan, tetapi tidak ketika berada di
persandingan?
Pelik. Tetapi itulah realitinya yang kerap berlaku sekarang.
Buat bakal pengantin, sedarlah bahawa Islam mewajibkan umatnya
menutup aurat kepada orang yang bukan muhrim setiap masa dan tidak kira
di mana-mana.
Nasihat ini bukan khusus untuk wanita sahaja. Buat keluarga pengantin
perempuan, tunjukkanlah cara yang terbaik yang menurut tuntutan Islam
dalam menganjurkan majlis. Buat si bakal suami, ketahuilah bahawa
sejurus lafaz nikah disahkan, tanggungjawab, dosa dan pahala isteri
ditanggung suami. Usahlah menjadi suami yang dayus dengan membenarkan
isteri mendedahkan auratnya.
Seolah-olah tidak ada makna dan tidak istimewa nikah yang
dilafazkan sekiranya mata orang-orang yang bukan muhrim berkongsi
melihat aurat isterimu.
iluvislam.com
No comments:
Post a Comment